HAMIL TETAPI MENGALAMI HAID?
.
Salah satu tanda kehamilan ialah tidak datang darah haid pada tarikh sepatutnya. Oleh itu saya berasa amat pelik jika ada wanita yang mengaku hamil dan mengalami haid.
.
Ini satu kekeliruan. Kedatangan haid dan kehamilan ibarat malam dan siang. Mana mungkin malam dan siang berlaku serentak. Begitu juga dengan kehamilan dan kedatangan haid. Mustahil orang yang hamil akan kedatangan haid kerana kedua-duanya tidak berlaku serentak.
.
Kekeliruan ini juga menyebabkan doctor mengira tarikh dijangka melahirkan bayi (date of delivery) pada tarikh yang salah. Masalah ini selalunya diselesaikan dengan bantuan pemeriksaan ultrasound.
.
Sebenarnya mereka mengalami pendarahan di awal kehamilan, bukannya kedatangan darah haid. Darah yang keluar dari faraj dan seolah-olah darah haid. Tetapi pendarahan di awal kehamilan dan kedatangan haid adalah suatu yang berbeza.
.
Kalau dari segi syarie, orang yang kedatangan haid tidak perlu solat dan berpuasa, sementara orang yang hamil dan mengalami pendarahan di awal kehamilan wajib bersolat dan berpuasa kerana darah itu bukan darah haid.
.
Pendarahan haid berlaku apabila rahem mengalami perubahan pada struktur dalamnya. Sel-sel pada sebelah dinding dalam rahem (yang dinamakan endometrium) akan mengalami penebalan sebagai persediaan untuk menerima telur ovum yang telah disenyawakan. Ia ibarat menyediakan tanah yang subur untuk menanam benih.
.
Namun begitu jika telur ovum tidak disenyawakan, dengan kata lain seseorang itu tidak hamil, maka sel-sel rahem endometrium ini akan dikeluarkan bersama-sama darah pada dinding rahem. Ketika inilah berlakunya pendarahan haid.
.
Jika telur ovum yang telah disenyawakan itu melekat dan ‘tertanam’ ke dalam sel-sel rahem endometrium, maka hormone progesterone yang dikeluarkan dari ovari dan uri dari pembentukan janin (embryo) akan menyebabkan lapisan sel endometrium semakin menerbal untuk membantu dan menyokong pembesaran janin. Oleh itu, sel-sel endometrium ini tidak akan keluar bersama darah rahem sehingga tempoh kehamilan berakhir.
.
Pendarahan di awal kehamilan boleh berlaku, sama ada ia menandakan sesuatu yang agak serius atau mungkin sesuatu yang agak normal. Sebahagian wanita mengalami pendarahan yang agak sedikit atau dipanggil spotting di awal kehamilan mereka, kebetulan pula bertepatan pada hari mereka sepatutnya kedatangan darah haid.
.
Jadi mereka menyangka bahawa mereka sedang mengalami haid, sebelum mereka mengetahui kemudian bahawa sebenarnya mereka sedang hamil. Pendarahan ini dinamakan "implantation bleeding" disebabkan telur ovum yang telah disenyawakan sedang ‘tertanam’ ke dalam sel-sel rahem endometrium yang kaya dengan saluran darah yang membekalkan oksigen dan nutrisi. Pendarahan ini selalaunya sedikit dan akan berakhir dengan sendirinya antara 2-3 hari.
.
Begitu juga di awal kehamilan boleh berlaku pendarah apabila doctor melakukan pemeriksaan faraj atau ‘Pap smear’. Pendarahan juga berlaku apabila melakukan hubungan kelamin di awal kehamilan.
.
Pendarahan di awal kehamilan juga menandakan sesuatu yang lebih serius, seperti tanda keguguran atau kehamilan di luar rahem. Ia bukan saja boleh menyebabkan kematian pada janin yang berada dalam rahem tetapi juga nyawa ibu yang hamil. Oleh itu jika mengalami pendarahan seperti ini, harus segera berjumpa doctor untuk pemeriksaan, terutam jika pendarahan tidak berhenti selepas beberapa hari.
Tidak kiralah sama ada pendarahan itu sedikit atau banyak, dan sama ada ia disertai dengan sakit perut atau tidak, suami wanita itu harus mengusahakan agar isteri mereka diperiksa sekurang-kuranganya untuk pengesahan kehamilan dan ultrasound bagi melihat kedudukan janin sama ada berada dalam rahem atau di luar rahem.
.
#HealthDrZubaidi
Tiada ulasan:
Catat Ulasan